Gadis manis penyambut tetamu mengetuk pintu kayu beberapa kali.
Kedengaran bunyi “Klik” di pintu. Gadis manis itu terus memulas tombol pintu
lalu daun pintu terbuka luas. Amalia dengan perasaan berdebar terus melangkah
mengekori gadis di hadapannya.
“Encik Farhan, ini Cik Amalia yang datang untuk temuduga jawatan
Penasihat Undang-Undang tu,” gadis itu memaklumkan kepada ketuanya yang sedang
menaip sesuatu di komputer yang berada di sebelah kanan meja utamanya.
Lelaki yang berpakaian kemeja berwarna biru laut serta bertali leher
warna senada bercorak abstrak memusingkan kerusinya mengadap ke arah Amalia. Alamak!!!.......Amalia
terkedu. Lelaki Winter Sonata dalam lif tadi…hati Amalia berdetik cemas. Tetapi
kali ini keterampilannya berubah. Sebentar tadi dia kelihatan seperti seorang
Mat Motor yang ingin pergi berlumba, tetapi di hadapannya kini duduk seorang
lelaki yang berjawatan tinggi, berpakaian kemas dan segak. Rambutnya disisir
rapi ke belakang serta tiada lagi sarung tangan getah yang menutupi tangannya.
Senyuman meleret di wajahnya. Ada
lesung pipit….Amalia berbisik sendiri.
“Ya, Cik Amalia, silakan duduk,” Encik Farhan berkata sambil
senyuman masih melatari bibirnya.
“Ya,” Amalia mengikut. Kerusi ditarik perlahan lalu dia melabuhkan
punggungnya di kerusi berhadapan dengan
lelaki bermata sepet itu.
“Mula-mula saya nak tanya, kenapa asyik pandang saya masa dalam lif
tadi? Cik Amalia tukang tilik ke?”
Ha?!! Amalia betul-betul terkejut dengan pertanyaan lelaki bermata
sepet di hadapannya itu. Rona-rona merah menjalar naik ke mukanya. Dirasakan
darah merah dan panas membuak-buak menjalar ke urat wajahnya. Amalia
benar-benar malu. Rupanya lelaki ini perasan yang dia memerhatikannya semasa di
dalam lif tadi.
“Errrr……” Amalia terkedu. Dia tiada jawapan untuk soalan itu kerana itu
bukanlah antara soalan-soalan yang dia membayangkan akan ditanya semasa
temuduga ini.
“Maafkan saya, saya tak bermaksud begitu,” Amalia akhirnya bersuara
perlahan sambil tunduk ke lantai.
“Alamak, Cik Amalia. Awak tak boleh macam ni. Kalau awak nak jadi
seorang Penasihat Undang-Undang, awak mesti tegas dan yakin di dalam setiap
jawapan awak. Awak mesti ada confident, baru boleh berjaya dan bersaing
dengan orang lain. Syarikat ni syarikat yang besar, kita jalankan perniagaan
import dan eksport di peringkat antarabangsa. Kami perlukan penasihat
undang-undang yang boleh memberi nasihat di dalam bidang perundangan
lebih-lebih lagi dalam merangka perjanjian apabila kami berurusan dengan
pelanggan-pelanggan. Pelanggan syarikat ini juga terdiri daripada syarikat-syarikat
besar dan kadangkala nilai urusan melibatkan jutaan ringgit,”
Encik Farhan menerangkan dengan panjang lebar kepada Amalia tentang
syarikat itu. Matanya tajam memandang ke arah Amalia. Amalia hanya mengangguk.
Dia cuba
mencari kata-kata terbaik untuk mempertahankan dirinya.
“Encik Farhan, saya memohon untuk pekerjaan ini kerana saya berminat
dengan jawatan ini dan saya pasti saya mampu menjalankan kerja ini dengan baik.
Saya pohon Eencik Farhan memberi saya peluang untuk membuktikan kemampuan saya.
Encik Farhan boleh memberi tempoh untuk menilai kemampuan diri saya dalam
menjalankan tugas, sekiranya selepas tempoh itu Encik Farhan berpuas hati
dengan kemampuan saya, saya harap saya diserap terus untuk bekerja di dalam
syarikat ini. Sekiranya tidak, saya sanggup menerima apa sahaja keputusan
syarikat terhadap saya,” Amalia berkata penuh yakin dengan ayat yang disusun
teratur.
Lelaki itu terdiam sebentar. Matanya yang telah sepet semakin
mengecil apabila dia mengerutkan dahinya.
“Hmmm……mengikut sijil-sijil yang awak kemukakan, nampaknya awak
aktif juga di sekolah dan universiti. Banyak terlibat dengan aktiviti
kebajikan. Nampaknya awak juga pelajar terbaik bagi fakulti undang-undang. Saya
nak tanya awak, adakah apa yang tercatit dalam sijil ini boleh terus menilai
diri seseorang dan kemampuannya dalam bekerja? Sesetengah orang berkata
kelulusan di universiti walau secemerlang manapun tidak akan dapat menentukan
bahawa dia mampu bekerja dengan baik. Malah ada yang mengatakan pengalaman itu
lebih bernilai daripada sekeping sijil,”
“Encik Farhan, bagaimana seseorang itu mahu mencari pengalaman
sekiranya dia langsung tidak diberi peluang untuk mencuba? Saya berpendapat
setiap orang yang berpengalaman itu juga bermula dengan kosong sewaktu dia
memulakan pekerjaannya. Sampai bila kami yang fresh ini berpeluang
menimba pengalaman sekiranya setiap syarikat memberi alasan bahawa mereka
inginkan orang yang berpengalaman? Rasanya Encik Farhan juga sewaktu menerajui
syarikat ini, memang tidak mempunyai sebarang pengalaman, tetapi saya yakin
berkat usaha gigih dan kerja keras Encik Farhan serta ingin belajar tentang
pekerjaan ini, maka Encik Farhan telah berjaya mengendalikan syarikat ini
dengan baik sekali,”
Ada senyuman kelihatan di bibir lelaki itu. Amalia pula semakin yakin
untuk berbicara dan melontarkan pendapatnya.
“Bila boleh mula bekerja?” tiba-tiba sahaja lelaki itu bersuara
selepas mendiamkan diri sambil matanya meliar melihat sijil-sijil yang
dikemukakan oleh Amalia.
“Ha?” Amalia bagai tidak percaya. Adakah lelaki ini ingin
mempermainkannya?
“Kenapa? Saya tanya bila boleh mula bekerja?” lelaki itu bertanya
lagi tetapi kali ini pandangannya menghala kepada Amalia.
“Errr…bila-bila masa yang Encik mahukan,” Amalia menjawab
tergagap-gagap. Dia begitu terkejut sebenarnya. Dia ingatkan dia akan gagal di
dalam temuduga itu kerana soalan-soalan yang dikemukakan oleh Encik Farhan
sebentar tadi seolah-olah tidak mahu menerimanya bekerja di situ.
“Esok boleh?” lelaki itu bertanya lagi.
Amalia terdiam. Esok? Fikirnya. Cepatnya…Amalia berkata-kata sendiri
dalam hati.
“Kenapa? Ada
masalah ke? Kata tadi ingin memberikan yang terbaik kepada syarikat ini. Takkan
perkara kecil macam ni pun menjadi masalah kepada awak?” kata-kata Encik Farhan
itu bagai satu cabaran kepada Amalia.
“Baiklah, saya setuju untuk mula bekerja esok,” Amalia berkata. Jika
ini adalah cabaran, maka dia akan menerimanya dengan hati yang terbuka.
“Baiklah, mula mendaftar pada 1 haribulan nanti,” tiba-tiba lain
pula arahan yang dikeluarkan oleh lelaki itu.
Amalia mengerutkan dahinya. Dia keliru. Mana satu arahan yang perlu
dipatuhinya. Datang esok atau 1 haribulan?.
“Errr…maafkan saya Encik Farhan. Saya kena datang esok atau 1
haribulan?”
“Kalau awak datang esok, sempat ke nak cari rumah sewa, nak cari pakaian
untuk datang kerja, kasut, beg tangan, transport…. Awak duduk di Ipoh kan?”
Amalia mengangguk. Lelaki di hadapannya ini seperti cuba
mengujinya. Dia rasa dipermain-mainkan pula. Nasib baiklah lelaki di hadapannya
ini Ketua Jabatannya, kalau tidak mahu rasanya dia meninggalkannya di situ
begitu sahaja.
“Ok, saya rasa itu sahaja. Awak boleh balik dan datang semula pada 1
haribulan depan. Tahniah,”
“Terima kasih Encik Farhan,” Amalia bangun lalu berjalan menuju ke pintu bilik. Dia berasa sangat lega dan turut bersyukur kerana berjaya mendapat pekerjaan ini.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar